Announcement
KENYATAAN MEDIA
Penyebaran Berita Palsu Mengenai Isu Coronavirus di GM Klang
(5 Februari, Klang) – Nama pusat pemborong GM Klang yang dikaitkan dengan isu coronavirus
kini tular di laman sosial sejak dari semalam. Orang awam telah mula memperkatakan isu
panas ini sehingga pelbagai spekulasi tercetus menyebabkan perasaan cemas dan bimbang
mula menyelubungi banyak pihak.
Berikutan perkara ini, pihak pengurusan GM Klang melalui Jabatan Komunikasi Korporat &
Perhubungan Awam ingin menjelaskan keadaan sebenar serta ingin menafikan kenyataan tidak
benar atau berita palsu yang telah dicipta dan disebarkan oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab ini.
Sebagai salah satu badan korporat di Malaysia, GM Klang amat memandang serius mengenai
penyebaran berita palsu ini kerana ianya telah mencemar kredibiliti dan mengganggu aktivitiaktiviti
perniagaan di sini. Perkara ini tercetus dipercayai bermula dari pengumuman yang telah
dibuat oleh Khidmat Pelanggan GM Klang di mana kami berkongsikan kepada para pengunjung
GM Klang mengenai langkah-langkah pencegahan coronavirus yang disyorkan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Walaubagaimana pun, niat baik itu disalah ertikan oleh
sesetengah pihak yang beranggapan pengumuman itu dibuat kerana telah terdapat kes
coronavirus di GM Klang.
Kami juga telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) berkenaan penyebaran berita palsu ini supaya siasatan dan tindakan susulan dapat
dilakukan kepada pesalah-pesalah cyber ini.
Kami menyarankan agar orang ramai tidak terpedaya dengan berita-berita palsu ini dan sila
rujuk kepada saluran-saluran yang dipercayai sebelum mengesahkan mana-mana berita yang
diterima. GM Klang juga tidak teragak-agak untuk membuat aduan kepada mana-mana individu
yang telah menyebarkan berita tidak benar ini.
Terima kasih.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Norsuhaida (Pengurus Komunikasi
Korporat & Perhubungan Awam di talian 03-3385 2300 atau email
norsuhaida@gmklang.com